Wednesday, September 2, 2009

Apa Kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) - HUKUMAN SEBAT KARTIKA


KENYATAAN MEDIA – ISU HUKUMAN ROTAN TERHADAP WANITA DI MAHKAMAH SYARIAH

Mengulas kenyataan dan komen Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’lo’ Datuk Mohd Ghazali, tentang hukuman yang dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno atas kesalahan meminum arak yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu 22 Julai 2009, PGSM dengan ini menyatakan pendirian dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-

1. PGSM kesal dengan kenyataan-kenyataan 2 tokoh tersebut yang cuba mempertikaikan dan menghina keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah. Secara tidak langsung kenyataan tersebut seolah-olah mencabar dan mempertikaikan keputusan Mahkamah. Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan Mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

2. PGSM menegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Hakim bicara, Datuk Abdul Rahman Yunus adalah atas dasar menjalankan tugasnya berdasarkan peruntukan dan kuasa yang diberi oleh undang-undang. Menurut peruntukan Seksyen Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, Mahkamah berbidangkuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi 5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan.

3. Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat.

4. Kami tidak menafikan bahawa di Mahkamah Sivil tidak terdapat hukuman sebat untuk pesalah wanita, lelaki berumut 50 tahun (kecuali atas kesalahan rogol), atau pesakit mental, tetapi perlu ditegaskan bahawa dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan. Walaupun niat baik kedua-dua tokoh ini adalah untuk memperjuangkan nasib wanita, tetapi mereka perlulah faham akan kaedah dan cara pelaksanaan hukuman sebat menurut Islam.

5. PGSM menegaskan bahawa pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Sivil. Prosedur untuk menjalankan hukuman sebat di Negeri Pahang ada diperincikan secara jelas dalam Seksyen 125 dan Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 negeri itu. Antara lain seksyen ini menyebut :-

i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan.

iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

iii. Pegawai Perubatan Kerajaan akan memperakukan samada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

6. PGSM mengucapkan syabas kepada Hakim bicara yang dapat melaksanakan peruntukan undang-undang sedia ada dengan baik. Semoga perlaksanaan undang-undang ini akan menjadi pengajaran kepada semua masyakarat terutama orang Islam. Pahang adalah antara Negeri yang amat serius dalam melaksanakan hukuman mengikut Syariah seperti yang sedia termaktub dalam perundangan Islam. Sekian untuk siaran. Semoga segala kenyataan PGSM ini dapat disiarkan sepenuhnya, terutama di perenggan Lima (5) tersebut di atas, iaitu berkaitan penerangan tentang kaedah pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

Musa___ ………………………….

(MUSA AWANG, P.P.N) Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

2 comments:

  1. Salam, sepatutnya kedua-dua pemimpin wanita ini menggunakan kebijaksanaan yang ada sebelum membuat kenyataan, jangan kerana nak kan sokongan sampai kita lupa akan agama......

    ReplyDelete
  2. YG...

    aku pun sedih bila agama di permainkan hanya berebutkan sokongan...tak paham agama tapi suke buat andaian sendiri..aku yg belajau kat sekolah agama rakyat pun masih refer kitab setiap isu yg berkaitan agama islam..

    tabik kat taib azamuddin...

    ReplyDelete